JANUARI 2026

SARAWAK SASAR MILIKI SATELIT SENDIRI, ANAK TEMPATAN DIGILAP DALAM TEKNOLOGI ANGKASA


KUCHING, 31 Januari 2026 - Sarawak merancang pendekatan baharu dalam pemantauan cuaca termasuk hasrat memiliki satelit sendiri di angkasa lepas, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda Sarawak menguasai teknologi aeroangkasa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, teknologi satelit kini telah mengalami perubahan besar dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada satelit konvensional berskala besar.

Sebaliknya, katanya, perkembangan semasa menyaksikan penggunaan teknologi Low Earth Orbit (LEO) serta nanosatelit yang dikenali sebagai CubeSat, yang lebih kecil, kos efektif dan berkeupayaan tinggi.

“Dengan kata lain, pada masa ini kita tidak lagi mampu membuat ramalan cuaca dengan tepat kerana kaedah sedia ada masih terlalu umum dan kurang spesifik dari segi lokasi.

“Kita sedang merangka pendekatan baharu untuk memantau keadaan cuaca. Apa yang diperlukan ialah satelit yang lebih maju yang mampu mengenal pasti dengan tepat apa yang akan berlaku di sesuatu lokasi.

“Jika itu dapat dilakukan, apakah langkah seterusnya? Kita mesti memiliki satelit kita sendiri di angkasa lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) Kuching di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, langkah itu selari dengan usaha Kerajaan Sarawak menawarkan Fakulti Aeroangkasa di Universiti Kolej i-CATS, universiti milik Sarawak, bagi membolehkan pelajar tempatan mempelajari ilmu aeroangkasa dan teknologi satelit secara langsung.

“Kita mahu pelajar Sarawak mempelajari ilmu aeroangkasa dan akhirnya diharapkan kita mampu membina CubeSat sendiri untuk dihantar ke angkasa lepas.

“Melalui satelit ini, imej boleh dirakam bagi mengenal pasti apa yang berlaku di bumi. Inilah ekonomi baharu, di mana kita mengetahui kedudukan gunung-ganang, laut dan kawasan daratan.

“Ia sekali gus memberi gambaran tentang struktur bumi serta potensi perancangan pembangunan di kawasan tertentu,” jelas beliau.